Sekatan kemasukan warga India, Indonesia, Filipina

54

1 SEPT: Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini telah membuat keputusan untuk mengenakan sekatan kemasukan Pas Jangka Masa Panjang bagi warga India, Indonesia dan Filipina.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekatan tersebut mula berkuat kuasa pada 7 September ini.

Menurut beliau, sekatan kemasukan itu merangkumi penduduk tetap (PR), pemegang pas program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat semua kategori termasuk pemegang Pas Lawatan Profesional (PLIK), pas residen, pasangan kepada rakyat Malaysia dan pelajar dari negara-negara terbabit.

“Keputusan ini diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan dalam negara oleh kes-kes import COVID-19,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan, mesyuarat turut memutuskan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (PKPDSP) di Aman Jaya, Kedah dilanjutkan sehingga 10 September ini.

Beliau memberitahu, sehingga semalam, Kementerian Kesihatan telah menyaring 12,533 daripada 22,360 individu di Zon Kenanga, Mawar dan Melur.

“Semua yang terlibat diminta untuk memberi kerjasama dan patuh kepada arahan Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh tersebut,” jelasnya.

Berhubung Tabung COVID-19, Ismail Sabri berkata, sebanyak RM44.517 juta berjaya dikutip sejak 11 Mac lalu daripada pelbagai penyumbang termasuk institusi diraja, syarikat swasta dan rakyat Malaysia.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak RM31.5 juta telah dibelanjakan untuk Program Bakul Makan (RM25.23 juta), Bantuan Khas Pengurusan Kematian untuk 119 penerima (RM595,000) dan Bantuan Khas Hilang Pendapatan bagi 4,134 penerima (RM5.67 juta).

“Tarikh tutup permohonan Bantuan Khas COVID-19 telah dilanjutkan mengikut tempoh pelaksanaan PKP iaitu sebulan selepas PKP ditamatkan,” katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati dalam laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA). – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.