Sabah, Sarawak penting dalam percaturan politik PN

88

1 SEPT: Sabah dan Sarawak dianggap penting dalam percaturan politik kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Arnold Puyok berkata, kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah bukan hanya dilihat sebagai cubaan olehnya untuk menyebarluaskan pengaruh parti itu di luar Semenanjung sebaliknya ia juga dijadikan sebagai pemangkin kepada cabaran yang diberikan oleh UMNO dan PAS.

Menurut beliau, bagi Sarawak, kira-kira 20 kerusi Parlimen di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bersatu adalah penting bagi mengimbangi kedudukan Muhyiddin di peringkat Persekutuan.

Arnold menambah, pembentukan Kabinet kerajaan PN pada 9 Mac lalu memperlihatkan beberapa pemimpin daripada Sabah dan Sarawak dilantik menjadi menteri.

“Pelantikan Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memfokus kepada hal-ehwal Sabah dan Sarawak dilihat sebagai signifikan oleh pelbagai pihak kerana ia akan memastikan isu-isu pembangunan khusus kepada Sabah dan Sarawak dapat diberikan perhatian sewajarnya.

“Walaupun portfolio seperti ini bukanlah satu perkara yang baharu namun ia dilihat sebagai usaha Muhyiddin di dalam mengetengahkan Sabah dan Sarawak sekali lagi dalam arus pembangunan perdana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pencapaian Harapan dan Cabaran (Dari Aspek Politik) dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini.

Arnold memberitahu, pentadbiran Muhyiddin perlu menyatakan hala tuju yang jelas tentang usaha menangani isu-isu berkatan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Adakah Muhyiddin akan meneruskan usaha yang telah dirintis oleh kerajaan terdahulu di dalam memastikan pelaksanaan MA63 dibuat secara tuntas?

“Adakah Muhyiddin akan mengambil pendekatan yang berlainan tetapi lebih strategik dan pragmatik?” soalnya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.