Projek KVDT 2 dijamin siap ikut jadual

107

1 SEPT: Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd komited untuk memastikan projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT 2) siap mengikut jadual yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamed Razeek Hussain berkata, syarikat itu akan terus berurusan dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan projek KVDT 2 dan kepentingan orang ramai tidak terjejas.

Menurut beliau, selain kesan langsung pandemik COVID-19 terhadap ekonomi, kerajaan juga perlu melihat aspek statistik masa utama dan kos pembatalan.

“Tapak akan terbiar dan hanya mengundang bahaya kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan media.

Pada 28 Ogos lalu, Kementerian Pengangkutan mengumumkan tender projek itu dibuka semula selepas mengambil kira keputusan kajian dan penelitian menyeluruh yang mendapati projek di bawah Dhaya Maju-LTAT Sdn Bhd (DM-LTAT) membabitkan kos terlalu tinggi ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Syarikat Dhaya Maju LTAT adalah usaha sama 80:20 antara syarikat pembinaan pegangan swasta Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang telah meraih kontrak pemulihan KVDT 2 iaitu 10 bulan selepas ia dibatalkan.

Mohamed Razeek menyifatkan KVDT 2 sebagai komponen penting bagi pengukuhan pengangkutan awam di Lembah Klang dan sebarang kelewatan akan memberi kesan terutamanya kepada pengguna.

“Untuk rekod, kerja-kerja itu pada masa ini dipantau oleh perunding profesional dan semua tuntutan telah disemak dan disahkan sebelum sebarang kelulusan pembayaran.

“Malah, terdapat pemantauan kewangan yang ketat di bawah pemerhatian pegawai berkaitan bagi projek KVDT2 itu,” jelasnya.

Beliau menambah, projek KVDT 2 telah mencapai kemajuan sebanyak 24 peratus, hasil usaha tenaga kerja dan dedikasi 1,512 pekerja di bawah Dhaya maju-LTAT dan 261 syarikat bekalan dan perkhidmatan.

Mohamed Razeek memberitahu, usaha sama itu juga telah mewujudkan lebih 7,000 pekerjaan di bawah sektor perkhidmatan, bekalan dan penyelenggaraan.

“Pada masa ini, syarikat memiliki kepelbagaian dan aset rel bernilai kira-kira RM350 juta yang merangkumi jentera dan peralatan kerja landasan khusus untuk memastikan projek disiapkan mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.