Penubuhan kementerian khusus soal perpaduan tepat

98

1 SEPT: Tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mewujudkan Kementerian Perpaduan Negara secara khusus bagi menangani masalah perkauman dan melestasikan usaha memupuk perpaduan kaum adalah satu langkah bijak dan prihatin.

Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata penubuhan kementerian khusus turut membolehkan kerajaan Perikatan Nasional menangani masalah perkauman dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum secara lebih lestari.

Datuk Dr Teo Kok Seong

Beliau berkata penubuhan kementerian berkenaan penting bukan sahaja untuk kerajaan mengakui Malaysia mempunyai masalah dalam ehwal menyatupadukan kaum dan wilayah malah lebih penting lagi, ia memperlihatkan adanya pandangan jauh untuk meramalkan musibah yang akan menimpa jika tidak diurus dan ditangani secara serius.

“Sebenarnya perpaduan negara dan integrasi nasional ialah persoalan sangat rumit yang dinamikanya adalah sulit sekali. Oleh itu, ia perlu ditangani sebaik yang boleh, bukan sahaja secara profesional, yakni dengan penuh ilmu daripada pelbagai disiplin yang berkenaan dengannya.

“Ia juga hendaklah dilakukan dengan amat teliti kerana ia bersifat sistematik sekali, iaitu berangkai-rangkai dan sarat pula dengan pelbagai faktor lain, selain kaum (untuk perpaduan negara) dan wilayah (bagi integrasi nasional).

“Dengan perkataan lain, persoalan perpaduan negara dan integrasi nasional tidak boleh sesekali ditangani tanpa adanya pemikiran amat mendalam (daripada dan berasaskan ilmu), apatah lagi secara spontan, yakni tanpa perancangan langsung atau perancangan acuh tidak acuh, selain bersifat ad hoc,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja di Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Rumah Kelab Alumni UM sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata pandangan berkenaan dibuat dengan mengambil kira keseriusan keadaan dengan menganggapnya sebagai amat penting kerana perpaduan negara dan integrasi nasional tidak pernah pun berada pada tahap yang memuaskan selepas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Persekutuan Malaysia pada 1963.

“Penubuhan Kementerian Perpaduan Negara ini bukan sahaja tepat pada masanya (timely) kerana hubungan etnik antara Melayu, Cina dan India semakin mencapah di Semenanjung Malaysia (dengan adanya defisit kepercayaan antara kaum yang ketara), dan hubungan wilayah semakin bersela dengan adanya suara (walaupun didakwa kecil) untuk Sabah dan Sarawak meninggalkan Persekutuan Malaysia.

“Sebenarnya penubuhan Kementerian Perpaduan Negara juga memperlihatkan sikap proaktif Kerajaan PN untuk mewujudkan tahap perpaduan negara dan integrasi nasional yang lebih baik, selain mengawal keadaan sedia ada yang tidak pun begitu baik agar tidak bertambah buruk lagi,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.