Pencapaian PN memimpin negara cukup positif

56

1 SEPT: Kejayaan dicapai kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh enam bulan lalu amat positif biarpun dituduh sebagai kerajaan ‘tebuk atap’ oleh pembangkang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata biarpun kerajaan PN dibentuk selepas ramai pemimpin melompat parti menyokong kerajaan semasa, namun ia dianggap tidak salah kerana membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

Malah, Ahli Parlimen Marang itu, berkata kejayaan kerajaan PN menangani masalah penularan COVID-19 adalah sesuatu dibanggakan kerana mendapat pengikhtirafan masyarakat dunia.

“Alhamdulillah pencapaian dalam waktu singkat, berjaya menangani COVID-19 dan perubahan dibuat menerusi demokrasi berparlimen bukan ‘tebuk atap’ Ahli Parlimen menerusi demokrasi tidak langsung.

“Ada orang kata lompat parti ini lompat yang baik, kerana lompat menyelamatkan keadaan (negara dilanda penularan wabak COVID-19),” katanya ketika berucap di Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Rumah Kelab Persatuan Alumni UM sebentar tadi.

perikatan

Konvensyen berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyampaikan ucaptama sebelum menutup program berkenaan.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata kerajaan PN tetap memerlukan mandat rakyat untuk meneruskan pemerintahan dengan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.

“Kita memerlukan mandat rakyat bila PRU15 akan diadakan hanya Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang tahu bila tarikh sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi juga melahirkan rasa gembira kerana proses peralihan kuasa dan pertukaran kerajaan dari PH ke PN berlaku tanpa sebarang masalah besar dan pertumpahan darah seperti kebangkitan berlaku di negara Arab menerusi revolusi Arab Spring. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.