Pemandu Camry putih direman sampai Jumaat

79

1 SEPT: Pemandu Toyota Camry yang menggunakan lorong kecemasan di Kilometer 56 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Bentong hingga melanggar sebuah motosikal seperti dalam rakaman video yang tular semalam direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, lelaki berusia 37 tahun itu direman hingga Jumaat untuk siasatan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya hari ini.

Semalam, tular satu video rakaman menunjukkan kemalangan membabitkan sebuah kenderaan yang dipandu dari arah Pahang menghala ke Kuala Lumpur dan sebuah motosikal yang ditunggang bersama seorang pembonceng.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, pemandu berkenaan dilihat mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kecemasan untuk memotong kenderaan di hadapan dan dalam masa yang sama terdapat sebuah motosikal di lorong berkenaan.

Motosikal terbabit cuba mengelak lalu terbabas dan jatuh ke tebing kiri jalan.

Yusuf berkata, dua mangsa dalam kemalangan itu masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 26 tahun sudah pun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong serta diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.