Moral dulu, buat maksiat Pas pecat – Abdul Hadi

60

1 SEPT: Pas sebuah parti yang sangat mementingkan soal moral terhadap ahli dan pemimpinnya.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebab itu, Pas sedia memecat pemimpin dari parti jika mereka didapati melakukan kesalahan yang melanggar moral dan Islam.

“Yang penting moral dulu, kalau buat sesuatu maksiat yang bercanggah dengan lslam dan moral, kita pecat dia.

“Dalam Pas yang pertama adalah dari segi maksiat dulu, yang kedua kalau ada salah laku itu kita serah kepada undang-undang,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian kepada media selepas berucap di Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN), di Rumah Persatuan Alumni UM hari ini.

Konvensyen itu ditutup oleh Perdana Menteri, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang menyifatkan kisah Datuk Seri Dr Khairuddin Aman Razali umpama seekor burung hud-hud dalam kisah Nabi Sulaiman.

Dalam ucapannya di Muktamar Dewan Ulama Pas Perak itu, Hashim memetik kisah dalam Surah An-Naml itu dengan mengatakan keingkaran burung hud-hud itu menyebabkan Ratu Balkis dan rakyatnya memeluk Islam.

Khairuddin yang juga Menteri Perusahan Perladangan dan Komoditi, Jumaat lalu hadir memberi keterangan bersama beberapa orang saksi di Bukit Aman bagi kesalahan itu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan mengumumkan Khairuddin sudahpun dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan terbabit pada 7 Ogos.

Khairuddin pulang dari Turki dan tiba di Malaysia pada 7 Julai. Ahli Parlimen Kuala Nerus itu memohon maaf di atas kekhilafan dan menyumbangkan empat bulan gaji sebagai anggota Kabinet untuk Tabung Bantuan COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.