Kepimpinan Muhyiddin kagumkan rakyat Malaysia

102

1 SEPT: Model kepimpinan Islam yang ditonjolkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengagumkan seluruh rakyat di negara ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata Muhyiddin merupakan pemimpin bersifat merendah diri apabila mengisytiharkan dirinya bukan berniat untuk terlalu menjadi Perdana Menteri namun lebih melihat jawatannya sebagai satu tanggungjawab yang besar.

Dr Barjoyai Bardai

“Pada 27 Mac 2020, dunia menyaksikan buat pertama kali bagaimana Perdana Menteri Malaysia melafazkan doa secara formal sebagai seorang khalifah memohon perlindungan dan penyelesaian di dalam kes COVID-19.

“Ini tercatit di dalam lembaran sejarah sehingga ditonjolkan di dalam media massa, termasuk di dalam Wikipedia. Ini menonjolkan watak beliau sebagai bibit-bibit pemimpin unggul model Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pencapaian Harapan dan Cabaran (Dari Aspek Politik) dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Barjoyai memberitahu Ahli Parlimen Pagoh itu melakukan pembaharuan Kabinet dengan memberikan delegasi kuasa yang besar dan penuh kepada ahli Kabinet dan ketua jabatan kerajaan untuk mentadbir dan membuat tindakan.

Menurut beliau, amat jelas dilihat bagaimana beliau memberi kuasa kepada setiap Menterinya untuk membuat keputusan dan bertindak secara agak bebas asalkan tidak bercanggah dengan prinsip asas kerajaan dan matlamatnya.

“Hasilnya beberapa orang Menteri dan ketua jabatan kerajaan menjadi lebih menonjol di dalam tindak tanduk mereka tanpa mendapat reaksi negatif beliau yang merupakan satu lagi semangat kepimpinan Islam yang penting.

“Beliau dilihat sebagai orang di belakang semua tindakan Menteri Kabinet dan ketua-ketua jabatannya tanpa cuba menonjolkan dirinya sendiri. Di dalam gaya pemerintahan konvensional, ia pastinya dilihat sebagai menonjolkan risiko untuk kehilangan pengaruh di dalam politik, “katanya.

Sementara itu, Barjoyai turut menekankan peranan Muhyiddin sebagai ketua kerajaan yang berusaha keras untuk membawa keluar ekonomi negara dari pusingan ganas kemelesetan ekonomi disebabkan oleh Covid-19

“Apabila mengumumkan Skim Bantuan Sosial, kerajaan terus-menerus menonjolkan kepentingan memastikan ada cukup makanan di atas meja untuk semua keluarga di dalam negara.

“Ini mengingatkan kita dengan usaha gigih Khalifah Umar Abdul Aziz yang memikul bekalan untuk mencari keluarga yang memerlukan bantuan dan layak memperolehi zakat.

“Dengan jumlah RM290 bilion yang dibelanjakan di dalam tempoh 3 bulan untuk menangani kesan wabak Covid-19 maka Kerajaan PN dilihat sudah menunjukkan pertanggungjawaban dan keprihatinan terhadap warganegara Malaysia di dalam menangani kesan wabak COVID-19,”ujarnya. –Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.