Hamas kecam UAE terima kunjungan delegasi Israel

52

1 SEPT: Hamas mengecam pemerintah Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana menyambut ketibaan delegasi sulung rejim Zionis Israel yang membuat kunjungan rasmi ke negara itu.

Langkah UAE berbaik-baik dengan Israel disifatkan oleh Hamas sebagai satu ‘hubungan yang berdosa’ dan ‘perjanjian yang memalukan’.

“Kunjungan tersebut dirancang dalam situasi peningkatan jenayah rejim Zionis terhadap Jerusalem dan Masjid Al-Aqsa, pemerluasan kawasan penempatan Yahudi, rampasan tanah, pelan pengilhakan dan pengusiran, selain sekatan dan operasi ketenteraan terhadap Gaza,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Hamas turut mengutuk langkah UAE itu sebagai menikam belakang rakyat Palestin, pembelotan terhadap gerakan pembebasan dan konspirasi terhadap perjuangan mereka.

Hamas menegaskan, sikap pemerintah UAE yang berdegil mahu menjalinkan hubungan baik dengan Israel tidak akan mengubah sejarah atau membuatkan negara-negara Arab dan Islam menerima rejim Zionis terbabit.

Langkah itu, kata Hamas, boleh menjejaskan keselamatan negara-negara Arab dan hak rakyat Palestin.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.