Gambar Ketua Pengarah Kesihatan disalah guna

40

1 SEPT: Sebuah syarikat perlombongan permata, Kashi Mining dikatakan telah menggunakan gambar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai salah seorang daripada barisan pengurusan mereka.

Walau bagaimanapun, pemeriksaan di laman sesawang syarikat yang kononnya berpangkalan di Jalan Patau-Patau, Labuan itu menggunakan gambar Dr Noor Hisham tetapi menukar namanya kepada Aidan Razif dengan menjawat jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi laman Facebook miliknya turut menafikan perkara tersebut.

Menurutnya, beliau telah menerima maklumat syarikat itu menggunakan gambarnya di laman sesawang kashiminingcompany.com dan menegaskan perkara itu adalah palsu.

“Untuk makluman umum, Syarikat Kashi Mining ada menggunakan gambar saya dalam laman sesawang mereka sebagai COO! Jelas ini adalah palsu,” tegasnya.

Terdahulu, semakan di laman sesawang Kashi Mining mendapati mereka memperkenalkan diri sebagai ‘syarikat yang memenangi anugerah’ dan memiliki ‘sumber permata dari lombong di Afrika’.

Sementara itu, menerusi laman sesawang syarikat itu turut menggunakan gambar Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamad Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, namun mengubah namanya kepada Mohamed Lew.

Mohamad turut menyifatkan tindakan syarikat itu menggunakan gambarnya sebagai ‘scam’ dan mengarut.

“Scammer (penipuan). Ada pihak menggunakan foto saya sebagai pengurusan syarikat. Mengarut sungguh,”katanya menerusi Facebook miliknya, hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.