Formula permuafakatan Melayu perlu diteroka

45

1 SEPT: Formula permuafakatan masyarakat Melayu yang diilhamkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dengan pemimpin UMNO dan Pas perlu diteroka.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, berkata formula itu perlu diteroka dengan adil dan ikhlas supaya mudah untuk negara berhadapan isu ekonomi dan cabaran di rantau Asia dan global.

“Idea permuafakatan yang dicetuskan ini berpotensi besar kerana melalui pemuafakatan memudahkan negara berhadapan ancaman luar.

“Permuafakatan orang Melayu melalui kepelbagaian parti pribumi dan orang Melayu tanpa mengenepikan bangsa lain bukan satu kelemahan tetapi kekuatan untuk meraih kemakmuran bersama.

“Ia perlu dibincangkan secara ilmiah bukannya dari pelemik politik semata-mata,” katanya ketika berucap Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Rumah Kelab Persatuan Alumni UM di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP), Ir Khairil Nizam Khirudin, berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah sebuah kerajaan yang tidak rasis.

Khairil Nizam berkata ini terbukti apabila kerajaan memberikan keadilan kepada semua dengan pemberian bantuan kewangan terus kepada rakyat tanpa mengira kaum menerusi Pakej Rangsangan EkonomPrihatin Rakyat (PRIHATIN) & Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Beliau berkata pemberian bantuan oleh kerajaan menerusi pakej PRIHATIN bernilai RM250 bilion dan PENJANA RM35 bilion adalah satu pendekatan serius untuk memastikan semua rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik mempunyai makanan di atas meja di rumah masing-masing.

“Kerajaan memanfaat rezab negara demi kebaikan rakyat yang secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi negara secara adil tanpa mengira kaum dan tidak timbul lagi soal Melayu didahulu atau bukan Melayu dipinggirkan.

“Ini menunjukkan kerajaan PN tidak rasis memperjuangkan keadilan dan kebajikan kepada semua, merentasi faktor kaum dan agama seperti mana digariskan dalam al-Quran,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.