Bung Moktar, Rahman Dahlan berdamai

247

1 SEPT: Perbezaan pendapat antara Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dapat diselesaikan pagi ini.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui Twitter hari ini.

Pertemuan antara Abdul Rahman dan Bung Moktar itu dirakamkan dalam sebuah program parti di Sepanggar, Sabah apabila kedua-dua pemimpin Sabah itu bersalaman sambil disaksikan Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata Bung Moktar dan Abdul Rahman merupakan suri teladan terbaik dalam menyelesaikan perselisihan dan permasalahan yang berlaku dalam parti.

“Meraikan perbezaan pendapat dan saling memaafkan, perlukan seseorang yang berjiwa besar dan sentiasa berlapang dada. DS Bung Moktar dan DS Rahman Dahlan merupakan contoh terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberitahu, penyelesaian itu dapat menguatkan lagi jentera UMNO dan BN agar kemenangan akan berpihak kembali kepada parti itu.

“Ketepikan perbezaan pendapat, noktahkan segala perbalahan, kerja kuat dan laksanakan semangat berpasukan agar BN menang semula pada Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Inilah peluang kedua diberikan kepada UMNO dan BN untuk terus memperjuangkan nasib rakyat. Ingatan kepada ahli UMNO Sabah pagi ini. Radu tetap radu,” katanya.

Sebelum ini, seramai 12 ketua bahagian UMNO di Sabah diketuai Abdul Rahman dan sekumpulan pemimpin parti itu membantah pelantikan Bung Moktar sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya parti itu untuk PRN Sabah. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.