Bukan masa untuk bertelagah – Rahman Dahlan

87

1 SEPT: Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menegaskan sekarang bukan waktunya untuk berbalah dan berbeza pendapat.

Beliau berkata, sebaliknya tempoh waktu yang ada ini penting untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) dan rakan-rakan dalam pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

“Perbezaan pendapat adalah lumrah politik. Namun, kita perlu membahagi isu.

“Iya, ada masa untuk berbalah. Tetapi sekarang adalah masa untuk memenangkan BN dan rakan-rakan dalam pilihan raya negeri. Ketika ini, itu lebih mustahak,” katanya menerusi Facebook beliau malam ini.

Abdul Rahman kembali berdamai dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini setelah sebelum ini membuat sidang akhbar mempersoal pelantikan Ahli Parlimen Kinabatangan itu sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Sabah.

Pertemuan antara Abdul Rahman dan Bung Moktar itu dirakamkan dalam sebuah program parti di Sepanggar, Sabah apabila kedua-dua pemimpin Sabah itu bersalaman sambil disaksikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Abdul Rahman, perbezaan pendapat masih boleh dan perlu diurus dan dibincangkan pada masa akan datang kerana proses itu tidak terkekang oleh had masa.

Katanya, pilihan raya pula ada had masa dan perlu diberi keutamaan. 26 September 2020 adalah tarikh pilihan raya. Pilihanraya tidak boleh ditangguh.

“Saya juga adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia dan Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran.

“Saya mempunyai tanggungjawab yang berat kepada parti dan ahli-ahli parti untuk memastikan BN dan rakan-rakan menang dalam pilihan raya,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.