Bersatu hati, saling menyokong – Hajiji

111

1 SEPT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mengulangi komitmen untuk bersatu hati dengan saling menyokong rakan-rakan parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Dauk Hajiji Noor berkata, adalah penting untuk semua pihak mengamalkan persepakatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Itulah saranan kita Bersatu Sabah kepada rakan gabungan yang lain bahawa kita mesti bersatu hati pada pilihan raya ini dengan saling menyokong,” katanya.

Hajiji berkata demikian pada majlis ramah mesra pimpinan Bersatu Kalabakan di Tawau hari ini.

Sempena majlis itu beliau menerima 2,000 borang keahlian Bersatu termasuk dalam kalangan ahli Parti Warisan Sabah.

Menurut Hajiji, Bersatu Sabah bertambah teguh dengan kemasukan 8,000 ahli baru dari Kunak, Tawau dan Lahad Datu selepas lawatan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Katanya, pada masa ini rundingan pembahagian masih masih berterusan dalam kalangan rakan-rakan parti lain dan dijangka diketahui sedikit masa lagi.

PRN Sabah bakal diadakan pada 26 September ini dengan penamaan calon pada 12 September.

Sementara itu, Hajiji berkata, pembangunan rakyat di Sabah tidak akan dapat dilaksanakan jika kerajaan negeri dan Persekutuan tidak sehaluan.

Katanya, masa depan negeri ini juga tidak akan terjamin jika kesepakatan dan hala tuju itu tidak selari.

“Bagi saya, untuk kebaikan dan membangunkan Sabah, adalah lebih baik dan afdal untuk kerajaan negeri bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya tidak, iaitu kerajaan negeri pembangkang, mungkin banyak perkara-perkara yang tidak boleh dilaksanakan,” katanya

Get real time updates directly on you device, subscribe now.