Abdul Hadi MP pertama tanda tangan SD sokong Muhyiddin

408

1 SEPT: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mendedahkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, adalah individu pertama yang menandatangani akuan berkanun (SD) bagi mengangkat namanya sebagai Perdana Menteri kelapan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Muhyiddin berkata, selepas itu barulah ia diikuti pimpinan parti-parti lain yang membawa kepada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, beliau kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat sokongan ahli Parlimen BERSATU, Barisan Nasional (BN), PAS, GPS, STAR dan PBS.

“Saya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah mantan perdana menteri meletak jawatan dan saya mendapat sokongan majoriti ahli-ahli parlimen dari parti Bersatu, BN, PAS, GPS, STAR dan PBS.

“Antara yang paling awal menyokong saya ialah YB Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang dan Presiden PAS yang ada di sini pada hari ini. Terima kasih saya ucapkan,” katanya ketika berucap di majlis penutupan Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN), di Rumah Kelab Persatuan Alumni UM di ibu negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau secara peribadi tidak menjangka akan dilantik sebagai Perdana Menteri ketika krisis politik berlaku hujung Februari.

“Tetapi oleh kerana berlakunya krisis politik yang agak rumit pada ketika itu, rakan-rakan pimpinan parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional hari ini mencadangkan nama saya sebagai Perdana Menteri. Setelah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa saya mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, maka jadilah saya Perdana Menteri.

“Keberadaan saya di sini hari ini selain daripada ketentuan Allah Yang Maha Kuasa adalah kerana sokongan yang saya terima daripada ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Sebagai Perdana Menteri, tugas saya yang pertama menurut Perlembagaan Persekutuan ialah membentuk Kabinet. Maka saya telah membentuk Kabinet saya yang menggabungkan ahli-ahli parlimen dari parti-parti yang menyokong saya, seorang ahli perbankan dan seorang mantan mufti. Kabinet inilah yang membentuk sebuah kerajaan yang dinamakan kerajaan PN,” katanya.

Muhyiddin berkata, tempoh enam bulan kerajaan PN adalah satu jangka masa yang singkat untuk dinilai pencapaiannya.

“Dalam keadaan biasa, enam bulan adalah umpama tempoh percubaan atau probation period. Sudah pasti tempoh yang agak lebih lama diperlukan untuk membuat penilaian yang lebih komprehensif tentang pencapaian sesebuah kerajaan,” katanya.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri, pada 29 Februari lalu selepas mendapat sokongan majoriti ahli parlimen terdiri daripada, BN, Bersatu, PAS, GPS dan parti di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata biarpun PN tidak mempunyai apa-apa akujanji atau manifesto pilihan raya namun, tidak bermakna pimpinannya boleh berbuat sesuka hati.

“Pembentukan kerajaan PN bukanlah selepas diadakan pilihan raya seperti biasa, tetapi berdasarkan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, kerajaan ini tidak mempunyai apa-apa manifesto atau akujanji yang biasanya dibentangkan kepada rakyat semasa kempen pilihanraya.

“Tanpa manifesto, saya fikir agak sukar untuk saudara-saudari menilai pencapaian kerajaan. Janji-janji mana yang telah tertunai dan mana yang belum tertunai tidak boleh disenaraikan satu persatu.

“Namun, ini tidak bermakna bahawa saya boleh melakukan sewenang-wenangnya. Tiada manifesto bukan bermakna tiada kebertanggungjawaban atau akauntabiliti kepada rakyat. Akauntabiliti sebagai pemimpin tetap ada.

“Sebagai seorang Muslim saya berpegang teguh kepada hadis Rasulullah S.A.W – Kullukum rai’n wa kullu ra’in mas’ulun ‘an raíyyatih – setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang-orang yang dipimpinnya,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau menerima jawatan Perdana Menteri dengan menggalas amanah dan tanggungjawab diberikan oleh rakyat.

“Di bahu Menteri-Menteri yang saya lantik juga bertanggungjawab kepada rakyat. Jika kami gagal memikul amanah kepada rakyat dengan baik, kami akan dipersoalkan oleh rakyat. Itu prinsip yang paling utama. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.