Semangat patriotik tetap dirasai walau dalam norma baru

214

31 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa syukur rakyat Malaysia tetap menzahirkan semanagat patriotik walaupun sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berbeza apabila tiada acara perarakan besar-besaran sejajar dengan norma baru akibat pandemik COVID-19.

Menurut Perdana Menteri, tanpa acara sambutan yang menjadi kelaziman setiap kali 31 Ogos, beliau percaya semangat kemerdekaan tetap hidup subur dalam jiwa semua rakyat Malaysia.

“Sesungguhnya saya juga berasa bertuah dan terharu apabila mendengar titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan keyakinan terhadap usaha-usaha kerajaan untuk mengukuhkan semula ekonomi di samping terus membela kebajikan rakyat sepanjang negara berhadapan dengan COVID-19.

“Dalam titahnya, Seri Paduka juga berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah menzahirkan ketahanan dan semangat prihatin yang jitu dalam menangani pandemik tersebut,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Menerusi hantaran itu, Muhyiddin turut berkongsi beberapa keping gambar sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Pahlawan, Putrajaya pagi ini yang berlangsung dalam normal baharu.

Walaupun sambutan Hari Kebangsaan berlangsung dalam norma baru dengan kehadiran yang terhad, namun ia tidak mematahkan semangat patriotik rakyat untuk mengekspresikan rasa cinta terhadap negara dengan cara tersendiri termasuk berkongsi momen dan  ucapan di media sosial.

Menggunakan tanda pagar #malaysiaprihatin dan #momennegaraku, kebanyakan rakyat turut berkongsi gambar mengibarkan Jalur Gemilang serta menzahirkan harapan agar Malaysia terus sejahtera.

Tambah Perdana Menteri, memang tidak dapat dinafikan pandemik COVID-19 ini sangat menguji kita namun begitu, dari satu sudut, apa yang berlaku ini memperlihatkan solidariti seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, ini sama ada di peringkat kepimpinan, barisan hadapan dan rakyat jelata dalam menangani dugaan besar ini sehingga negara mendapat pengiktirafan dunia sebagai salah sebuah negara yang berjaya mengawal pandemik ini daripada terus merebak.

“Ketika ini, negara masih berada dalam fasa pemulihan ekonomi pasca COVID-19. Sepertimana yang pernah saya nyatakan sebelum ini, sektor-sektor ekonomi yang terjejas akibat COVID-19 sudah kembali rancak dan insya-Allah, sekiranya keadaan ini berterusan, ekonomi negara dapat pulih dengan lebih cepat,” jelasnya.

Kata Muhyiddin, Seri Paduka juga menyentuh mengenai Rukun Negara dan berpesan supaya Rukun Negara tidak hanya dijulang secara simbolik menerusi bacaan pada saban tahun ketika menyambut Hari Kebangsaan.

“Sebaliknya, roh dan semangat Rukun Negara hendaklah dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan.

“Marilah kita sama-sama berjuang memerdekakan diri dan negara kita daripada COVID-19 pula dengan mematuhi segala arahan dan garis panduan pihak berkuasa.

“Sebagai warga merdeka, marilah kita terus hidupkan semangat patriotisme yang padu untuk negara tercinta ini,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.