PN tak janji had jawatan PM 2 penggal

64

31 OGOS: Usaha mengehadkan jawatan Perdana Menteri agar tidak melebihi dua penggal merupakan janji Pakatan Harapan (PH) yang tersembunyi agenda politik bagi kepentingan sendiri.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, reformasi bukan nama khas yang dimonopoli PH, tetapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga mengusahakan reformasi Parlimen dan sistem dalam kerajaan.

“Ini janji PH, bukan PN. Sesetengah janji adalah dibuat kerajaan terdahulu dan lebih cenderung kepada motif politik atau untuk kepentingan politik sendiri.

“Yang pasti, PN juga giat melakukan reformasi dan akan terus memastikan pembaharuan dalam Parlimen dan sistem dapat dijalankan.

“Ini termasuk membenarkan wakil rakyat pembangkang mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya seperti dilaporkan Sinchew Daily.

Mohamed Azmin berkata, bukan hanya PH sahaja yang tahu melaksanakan pembaharuan atau lebih dikenali sebagai reformasi.

Beliau menambah, prestasi PN dalam memerangi wabak COVID-19 dan merangsang ekonomi dapat dilihat dengan jelas.

“Adalah tidak adil jika ada yang berkata usaha reformasi adalah milik PH sahaja.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN juga berusaha melakukan reformasi,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.