Indonesia kaji semula status ganja sebagai ubat

78

31 OGOS: Kementerian Pertanian Indonesia akan mengkaji semula keputusannya yang terdahulu mengklasifikasikan pokok ganja sebagai tumbuhan ubatan.

Memetik laporan Jakarta Post, kementerian itu berkata, usaha itu selaras dengan komitmen Menteri Pertanian Indonesia, Syahrul Yasin Limpo untuk membanteras penyalahgunaan dadah.

“Keputusan ini akan dikaji semula tidak lama lagi selepas kami bekerjasama dengan Badan Narkotik Nasional (BNN), Kementerian Kesihatan dan Institut Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI),” kata pengarah bahagian tanaman dan perubatan Kementerian Pertanian Indonesia, Tommy Nugraha.

Kenyataan itu susulan status yang dimuat naik oleh Nusantara Marijuana Network (LGN) berhubung perkara itu dalam akaun Instagram, @lgn_id.

Status itu menyatakan keputusan Kementerian Pertanian negara itu berhubung status pokok ganja yang dimasukkan dalam senarai tumbuhan ubatan.

Dalam pada itu, Tommy berkata, keputusan kementerian pada Februari lalu berhubung perkara itu hanya bertujuan membantu penanam ganja beralih kepada tanaman lain.

Katanya, ganja sudah dikategorikan sebagai tumbuhan ubatan di negara itu sejak 2006.

Walau bagaimanapun katanya, sehingga kini, tiada penanam ganja berlesen di negara itu.

Ganja diharamkan di Indonesia dan Undang-undang Narkotik 2009 mengkategorikan tumbuhan itu sebagai kesalahan dadah, bersama-sama candu dan kokain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.