Individu fitnah beri wang di Slim padam hantaran – Noh

161

31 OGOS: Difitnah memberi wang semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini, Tan Sri Noh Omar memuat naik tangkap layar hantaran empat individu terlibat menyebarkan fitnah itu.

Menurut Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, bagaimanapun sejak laporan polis dibuat, beliau difahamkan individu yang memuat naik hantaran itu sehingga menjadi tular telah memadamkannya.

Kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu yang ternyata berang dengan fitnah jahat tersebut, sebanyak lima laporan polis dibuat berhubung isu berkenaan.

“Ini adalah tangkap layar fitnah yang barua-barua PH cuba buat dan juga gambar asal posting saya pada 2018 yang mereka ambil untuk fitnah saya. Kenapa delete (padam)?

“Tangkap dan siasat,” tegas Noh menerusi satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Pada hantaran itu, Noh turut memuat naik hantaran asal berhubung gambar pemberian wang itu yang bertarikh 2 Februari 2018.

Program dihadiri Noh itu ketika beliau menyampaikan sumbangan bantuan awal persekolahan di sebuah sekolah di Parlimen Tanjong Karang.

“Kami tidak mahu kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Slim terjejas akibat fitnah yang mereka lemparkan,” tambah Noh.

Kelmarin, gambar Noh memberikan wang pada satu majlis tular dan gambar itu dikaitkan dengan kemenangan besar BN pada PRK Slim.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.