75 ketua cawangan Warisan sertai Bersatu

237

31 OGOS: Seramai 75 ketua cawangan Parti Warisan Sabah (Warisan) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak keluar daripada parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas ketua cawangan Kampung Sungai Langgas 2, Hussein Ibnu Hassan, yang mengetuai kumpulan itu, menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam majlis ramah mesra bersama pemimpin Bersatu hari ini.

Bernama difahamkan lebih 2,000 ahli Warisan daripada 75 cawangan berkenaan turut menyertai Bersatu.

Yang hadir sama pada majlis itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Lajim Ukin.

Dalam pada itu, Hajiji dalam ucapannya, berkata kemasukan beramai-ramai ke Bersatu itu menunjukkan parti berkenaan semakin diterima rakyat Sabah.

“Di mana-mana tempat yang sudah kita lawati atau berjumpa rakyat, ada sahaja yang mahu menyertai Bersatu dan ini tidak ada sebarang paksaan mahupun tekanan,” katanya.

Beliau menggesa semua ahli Bersatu untuk menyokong calon parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.