116 individu ditahan kunjung kelab malam

51

26 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 253 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk 116 orang yang terlibat dalam aktiviti pub atau kelab malam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, seramai 219 individu dikompaun manakala 32 individu direman dan dua individu dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (23), tidak memakai pelitup muka (26), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (70), premis beroperasi lebih masa (2), ceroboh pusat kuarantin (2), terlibat dalam aktiviti perjudian (13) dan gagal lunaskan bayaran pusat kuarantin (1),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berhubung Operasi Benteng semalam, beliau memberitahu, PDRM telah mengadakan 63 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 27,197 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

Ismail Sabri menyatakan, tiada tangkapan dilakukan dalam operasi tersebut.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejak 24 Julai sehingga 30 Ogos 2020, seramai 20,455 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 73 hotel dan empat institut latihan awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Labuan dan Kedah.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,917 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 56 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 11,482 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia.

Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

Semalam, pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,264 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 1,196 premis didapati mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 43 premis diberi nasihat dan 25 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan ketika menyambut Hari Kebangsaan Ke-63.

“Dalam keriangan meraikannya, jangan pula kita lupa bahawa kita masih belum merdeka daripada ancaman virus COVID-19 kerana ia masih lagi berada di sekeliling kita,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.