SPRM nafi siar kenyataan isu sogokan PRK DUN Slim

34

30 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan satu kenyataan media berhubung siasatan pemberian wang sogokan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang didakwa dikeluarkan suruhanjaya itu.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan media bertajuk ‘SPRM siasat pemberian wang sogokan Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 DUN Slim’ berkaitan siasatan video tular pemberian wang sogokan.

“Bagaimanapun, SPRM memohon semua pihak yang mempunyai maklumat berkaitan rasuah atau apa-apa salah laku di PRK DUN Slim menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak kami atau Polis Diraja Malaysia,” kata SPRM.

Semalam, tular kenyataan media berhubung siasatan dijalankan SPRM mengenai pemberian wang sogokan PRK DUN Slim serta mengesahkan telah menerima video penawaran pemberian rasuah daripada peraih untuk bakal pengundi.

Dalam kenyataan itu juga, SPRM didakwa sedang mengesan dan menyiasat individu dalam video yang menawarkan sejumlah wang tertentu bagi pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Malah, kenyataan itu mendakwa SPRM menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat diminta melaporkan kepada agensi berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.