Sistem e-kerajaan tak jejas penjawat awam

80

30 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kedudukan dan kebajikan 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara tetap terjamin biarpun Malaysia sekarang melaksanakan sistem kerajaan elektronik (e-kerajaan) dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata, ini kerana penjawat awam masih diperlukan untuk melakukan tugas-tugas lain bagi meningkatkan lagi keberkesanan penyampaian perkhidmatan, justeru tidak timbul isu pengurangan jumlah sedia ada.

“Sebagai contoh, sebelum ini ada tiga orang untuk satu tugas, tetapi apabila e-government (e-kerajaan) dilaksanakan, hanya seorang akan menjalankan tugas itu, manakala dua orang lagi boleh buat tugas yang lain,” katanya pada satu majlis perjumpaan bersama penjawat awam di Sandakan, Sabah, hari ini.

Beliau menambah, penggunaan teknologi sememangnya tidak boleh dielakkan, namun pada masa sama tenaga penjawat awam diperlukan untuk meningkatkan lagi produktiviti dan kualiti perkhidmatan.

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang penjawat awam yang ingin tahu sama ada bilangan tenaga kerja sektor awam sedia ada akan dikurangkan jika sistem e-kerajaan dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui akan terdapat perubahan dalam tugas penjawat awam apabila sistem itu dilaksanakan, namun teknologi itu akan memberi nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan.

Katanya beliau juga berpuas hati dengan prestasi penjawat awam, namun yakin mutu dan prestasi dapat ditingkatkan lagi sejajar dengan perkembangan semasa.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan semua penjawat awam perlu mengamalkan pendekatan ‘luar biasa’ dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab masing-masing serta membenci rasuah.

Muhyiddin berkata fungsi penjawat awam sebagai penyampai atau penterjemah kepada dasar-dasar kerajaan adalah penting.

Katanya, langkah itu perlu untuk memberitahu rakyat mengenai dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dasar pembangunan ekonomi, pertanian, luar bandar, bidang sosial…itu menjadi tanggungjawab kita.

“Kita mahu pentadbiran ini lebih cekap. Sistem pendigitalan sudah dimulakan tapi belum cukup rancak. Ini akan kita rancakkan.

“Kita mahu sistem pentadbiran kerajaan itu cepat dan tepat. Dari segi menyampaikan perkhidmatan yang ditugaskan kepada kita untuk dilaksanakan,” katanya yang menegaskan yang semua penjawat awam mesti mempunyai integriti yang tinggi.

“Rasuah mesti dibenci. Pastinya kita mahu perbelanjaan kewangan yang kita laksanakan itu secara berhemah, cekap tidak membawa pembaziran.

“Kita belum selesai menghadapi pandemik COVID-19…Belum lagi kita sampai ke ‘puncak bukit’ tak boleh kita bertindak seperti biasa sebab situasi sekarang bukan kebiasaan. Sebab itu tindakan kita sebagai penjawat awam tidak boleh seperti biasa,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.