Rakyat Israel desak Netanyahu letak jawatan

32

30 OGOS: Ribuan rakyat Israel mengadakan tunjuk perasaan di beberapa lokasi termasuk Baitulmuqaddis bagi mendesak Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang terpalit dengan tuduhan rasuah dan kegagalan mengendalikan krisis COVID-19 untuk meletak jawatan.

Memetik laporan Agensi, mereka berkumpul di pintu masuk bandar Baitulmuqaddis sebelum berarak ke kediaman rasmi Netanyahu.

Mereka berarak sambil mengibarkan bendera Israel dan bendera hitam sebagai simbol gerakan ‘Enough with Division’ dan ‘This is not politics, this is crime’ seperti terpampang di plakad dibawa penunjuk perasaan.

Terdapat juga tunjuk perasaan dalam kumpulan kecil berlangsung di beberapa kawasan di Israel termasuk di kediaman peribadi Netanyahu dekat bandar Caesaria.

Namun, Netanyahu menepis desakan mengundurkan diri sambil mendakwa tunjuk perasaan itu berpunca daripada pengikut berhaluan kiri termasuk dicetuskan media.

Kerajaan gabungan Netanyahu selamat seketika selepas perjanjian dengan ‘perdana menteri gantian’, Benny Gantz yang juga pesaing dan rakan gabungan utamanya.

Israel pada awalnya mampu mengawal penularan COVID-19 ketika fasa pertama pada musim bunga, namun pembukaan semula ekonomi terlalu pantas Mei lalu mengakibatkan lonjakan kes mendadak.

Negara rejim Zionis itu bergelut dengan jumlah jangkitan yang mencecah 113,000 kes dan kematian pula semakin hampir dengan 1,000 kes.

Antara yang menyertai tunjuk perasaan itu adalah pemilik perniagaan, peniaga kecil, usahawan terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19 di negara itu.

Turut terkesan adalah kadar pengangguran di negara itu yang melebihi 20 peratus.

Tahun lalu, Netanyahu didakwa atas kesalahan rasuah, penipuan dan pecah amanah dalam tiga siasatan rasuah. Kes itu turut meningkatkan momentum tunjuk perasaan kali ini.

Ramai penunjuk perasaan mendesak Netanyahu tidak lagi berkhidmat sebagai Perdana Menteri ketika beliau didakwa dengan kes salah laku yang serius.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.