PN terus perjuangkan nikmat kemerdekaan

54

30 OGOS: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus memperjuangkan nikmat kemerdekaan, keharmonian kaum dan keamanan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia, sejak 63 tahun lalu.

Berikutan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia menyahut cabaran dalam kehidupan norma baharu berikutan penularan COVID-19 di negara ini.

Muhyiddin berkata, biarpun rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat yang mempunyai pelbagai perbezaan sama ada dari segi kaum, agama dan fahaman politik, mereka tetap perlu bersatu padu dan hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

“Kemerdekaan adalah satu permulaan dalam sejarah hidup kita dalam meniti perjalanan sangat panjang. 1957…63 tahun kita melusuri kedamaian yang kita capai selama ini.

“Demi tanah air, demi anak bangsa walaupun kita berbeza namun kita semua adalah sama. Tanpanya tidak wujud keamanan. Perjuang tetap diteruskan untuk pertahankan tanah air yang bertuah ini,” katanya dalam rakaman video ringkas berdurasi 3 minit 39 saat dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.

Muhyiddin turut berdoa kepada Allah SWT supaya Malaysia terus dirahmati dan dikurnikan pahlawan yang gagah dan berani mempertahankan kemerdekaan negara sampai bila-bila.

“Ya Allah engkau rahmatilah negara ini, engkau kurniakan pahlawan-pahlawan yang juga memperjuangkan negara ini. Ya Allah engkau kurniakan kekuatan kepada kami untuk maju sebagai satu bangsa berjaya.

“Ayuh anak bangsa ku sambut cabaran baharu, dalam kehidupan norma baharu. Walau apa jua cabaran dan rintangan yang datang kita tetap kecekalan dan kesungguhan tinggi . Bersatu dan berazam dengan penuh semangat kita pertahankan kemerdekaan ini,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa bangga kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia yang sudah mencapai kemerdekaan selama 63 tahun daripada penjajah.

“Saya Muhyiddin Yassin, saya anak Malaysia. Selamat Hari Kebangsaan. Merdeka! Merdeka! Merdeka! Malaysia Prihatin,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.