PM cadang bantuan JKM naik RM1,000 sebulan

202

30 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan agar bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak dinaikkan ke RM1,000.

Perdana Menteri berkata, cadangan itu akan beliau kemukakan pada mesyuarat Kabinet minggu depan.

“Saya tahu cakap (kenyataan) saya ini mempunyai implikasi besar, but I don’t care (tapi saya tidak peduli).

“What is important is the livelihood of our people down there (Yang penting ialah mata pencarian rakyat di akar umbi) … they have suffered for a long time (mereka menderita sejak sekian lama),” katanya pada majlis perjumpaan bersama pimpinan masyarakat di Sandakan, Sabah hari ini.

Muhyiddin berkata usaha membantu golongan itu termasuk B40 merupakan aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinannya.

Beliau juga meluahkan rasa sedih dengan nasib golongan itu walaupun negara telah lama merdeka.

“Mereka ini manusia yang masih hidup, tetapi dengan pendapatan kecil, sukar untuk hidup.

“Kalau mereka sakit, saya tidak jamin mereka boleh hidup sejahtera,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan Malaysia setiap tahun adalah untuk rakyat mengimbau masa lalu dan menjadikannya sebagai pengajaran untuk melangkah ke hadapan dengan melaksanakan perkara yang perlu dilakukan.

Menurut beliau, bagi membolehkan Malaysia yang mencapai kemerdekaan ke-63 ini bertambah maju dan berjaya, komitmen tinggi rakyat serta pengorbanan jauh lebih besar diperlukan selain kesediaan berdepan pelbagai cabaran.

“Yang kita lakukan kini, bukan untuk kehidupan kita tetapi untuk anak, cucu dan cicit kita iaitu generasi akan datang.

“Manusia tidak boleh hidup selama-lamanya dan selagi masih bernafas maka pengorbanan kita mesti diteruskan dengan membantu apabila kita melihat anak-anak di kampung masih tidak terbela, ada orang miskin susah, sakit dan pelbagai lagi,” katanya.

Sehubungan itu Muhyiddin berkata sambutan Hari Kebangsaan dapat menyemarakkan semangat juang untuk memajukan Malaysia selain mempertahankan tanah air agar tidak ada yang berani menceroboh.

Dalam pada itu mengenai keselamatan di Sabah katanya kawalan sempadan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) perlu diteruskan dan barisan hadapan sama ada di udara, laut dan daratan wajar diperkukuhkan.

“Bala tentera, polis, imigresen kita ini baik di pinggiran negara jiran, di air mahupun di daratan kita akan cari jalan untuk perkukuhkan aset mereka ini, supaya adanya aset lebih baik mereka mampu mengukuhkan atau memelihara keselamatan dan keamanan negara kita,” katanya.

Menurut beliau, usaha itu penting bagi mengekalkan Malaysia sebagai negara berdaulat dan tidak ada yang berani mengganggu gugat atau menceroboh negara dengan membawa musibah kepada rakyat Malaysia.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.