Pemimpin politik Sabah mesti bersatu hati

102

30 OGOS: Kepimpinan politik di Sabah perlu bersatu hati dan bekerja sebagai satu pasukan dalam usaha membangunkan negeri itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam persekitaran normal baharu, semua parti poltik sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Maju Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), MCA atau PAS perlu duduk berbincang tentang kepentingan rakyat.

“Kita semua orang Malaysia. Ini adalah masa dalam normal baharu ini, seharusnya ada politik normal baharu untuk kita duduk semeja, berunding dan berbincang untuk kepentingan rakyat khususnya hari ini adalah untuk rakyat di Sabah, (tunjukkan) bahawa kita adalah satu.

“Kita bekerja sebagai satu pasukan untuk memperoleh kejayaan seterusnya membina dan majukan Sabah untuk rakyat Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Sabah di Kota Kinabalu, malam tadi.

Turut hadir Ketua Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Timbalan Presiden PBS, Datuk Radin Malleh dan Timbalan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup.

Majlis itu turut dihadiri Ketua MCA Sabah, Lu Yen Tung; Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menambah, perkara utama sekarang adalah untuk melihat situasi politik negeri ini kukuh dan stabil, justeru kerjasama pemimpin parti politik adalah penting dalam merealisasikan hasrat itu.

“Bila suasana politik negeri stabil, ini bantu tentukan segala perancangan pembangunan dan ekonomi berjalan licin dan lancar, kerana itu saya berada di sini untuk tinjau perkembangan mutahir berlaku di Sabah gambaran lebih dekat apa berlaku di sini,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.