Lelaki warga emas maut akibat COVID-19

47

30 OGOS: Seorang lelaki rakyat tempatan berumur 75 tahun meninggal dunia akibat COVID-19 di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit pulmonari tersekat kronik (COPD) dan penyakit jantung.

Menurut beliau, mangsa yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara mula mempunyai gejala batuk dan sesak nafas pada 7 Ogos 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah bagi jangkitan paru-paru atau pneumonia.

“Beliau discaj dari hospital pada 18 Ogos 2020. Beliau mengalami gejala batuk dan sesak nafas pada 21 Ogos 2020 dan mendapatkan rawatan pada 24 Ogos 2020 di Hospital Sultanah Bahiyah.

“Ujian saringan menunjukkan beliau adalah positif COVID-19. Keadaan kesihatan beliau didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 29 Ogos 2020 jam 5.10 petang.
KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham memberitahu, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 126 kes iaitu 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau menambah, setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 17 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 9,334 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 160 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” jelasnya.

Daripada 17 kes baharu yang dilaporkan, 15 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan 11 rakyat Malaysia dan empat bukan warganegara.

Kes-kes import tersebut adalah dari negara India (12 kes di Kuala Lumpur), Arab Saudi (2 kes di Kuala Lumpur) dan Jepun (1 kes di Sarawak).

Dua kes penularan dalam negara melibatkan rakyat tempatan masing-masing di Selangor dan Kedah.

Sehingga kini, terdapat tujuh kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kementerian Kesihatan Malaysia turut memaklumkan bahawa terdapat 10 kes yang telah pulih COVID-19 hari ini.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,048 kes atau 96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai mengenai kepentingan melindungi golongan warga emas yang merupakan antara kumpulan berisiko tinggi maut akibat komplikasi jangkitan COVID-19.

“Sebagaimana semua sedia maklum, kumpulan yang berisiko tinggi adalah lebih rentan jangkitan termasuk penyakit COVID-19.

“Individu yang patut dilindungi dalam kumpulan ini adalah warga emas, wanita mengandung, pesakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi serta penyakit jantung dan pesakit imuniti rendah seperti kanser dan HIV.

“Kumpulan yang rentan ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19,” jelasnya.

Justeru, kata beliau, adalah penting agar kumpulan tersebut mengelakkan ke tempat tumpuan ramai, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan,
memakai alat pelitup muka di tempat yang sesak dan sempit, segera mendapatkan rawatan sekiranya tidak sihat, mengekalkan kebersihan diri sepanjang masa, mengamalkan pemakanan seimbang dan kekal aktif.

“Bagi ahli keluarga atau penjaga yang tinggal bersama individu dari kumpulan ini, adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan individu tersebut mendapat rawatan segera jika mempunyai gejala dan memastikan kebersihan diri diamalkan.

“Bagi komuniti yang tinggal di kawasan yang sama, mereka disarankan agar mengamalkan penjarakan fizikal dengan individu-individu ini pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter agar mereka terus dilindungi dari jangkitan COVID-19,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.