20,190 rakyat Malaysia dari luar negara disaring

33

30 OGOS: Seramai 20,190 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sudah menjalani ujian saringan COVID-19, sejak 24 Julai sehingga 29 Ogos 2020.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua mereka kemudiannya ditempatkan di 74 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 8,854 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 56 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan sehingga kini seramai 11,280 individu sudah didiscaj dan dibenarkan pulang

Mereka telah pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

“Polis juga menjalankan sebanyak 418 pemeriksaan, semalam, terhadap individu yang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan semuanya didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Polis bersama petugas Kementerian Kesihatan akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sebanyak 11 operasi sanitasi dijalankan di 10 zon termasuk dua zon kuning dan lapan zon hijau.

Katanya, ia membabitkan empat operasi di Kedah, masing-masing dua di Sabah dan Melaka serta satu di Pahang, Perlis dan Kuala Lumpur.

“Operasi sanitasi ini membabitkan 37 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 106 dari agensi lain manakala empat jentera JBPM turut terbabit dalam Operasi Sanitasi Awam,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pemantauan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam terhadap 12 jenis bekalan barangan di 688 premis perniagaan termasuk 482 peruncit, 175 pemborong dan 31 pengilang mendapati bekalan barangan keperluan mencukupi.

Katanya, ia mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan selain mudah diperoleh.

“Pegawai penguat kuasa KPDNEHP juga melakukan 1,264 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,196 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 43 premis diberi nasihat dan 25 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

“Dalam tempoh PKPP ini, pengusaha dan orang ramai diminta sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.