TNB sumbang RM250 juta diskaun elektrik pengguna

84

29 OGOS: Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited menyokong usaha merangsang ekonomi yang dimulakan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dengan menyumbang RM250 juta daripada RM2.6 bilion yang disalurkan kepada pengguna sebagai diskaun elektrik bagi bulan April-Disember 2020.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, TNB turut menyumbang hampir RM28 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan kerajaan negeri.

“Ini bagi pembelian bekalan perubatan dan kelengkapan perlindungan diri bagi membendung penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan media.

Sementara itu, beliau berkata, TNB yakin pemulihan prestasi kumpulan secara beransur-ansur dapat dilihat pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, disokong kegiatan perniagaan yang semakin rancak selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Negara kini menunjukkan tanda positif untuk pemulihan ekonomi berikutan pembukaan semula sektor industri dan komersial ketika PKPP yang turut dicerminkan dengan peningkatan permintaan elektrik.

“Kami menjangkakan trend peningkatan positif ini akan berterusan dan kekal stabil pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

Menurutnya, keuntungan selepas cukai (PAT) menyusut 46.7 peratus kepada RM1.41 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2020 (1HFY2020) daripada RM2.65 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.

PAT yang lebih rendah ini disebabkan kemelesetan ekonomi berikutan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta tukaran mata wang asing yang tidak stabil.

“Pendapatan kumpulan menyusut 13.7 peratus kepada RM22.55 bilion daripada RM26.12 bilion pada tempoh sama tahun lalu berikutan pulangan yang lebih rendah daripada subsidiari dan Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) pada keadaan rebat RM520 juta berbanding keadaan surcaj RM1.79 bilion pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, jualan elektrik untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini yang terkesan berikutan penutupan premis perniagaan ketika PKP menyederhana ke 53,535.7 GWj berbanding 58,521.1 GWj untuk tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, permintaan elektrik menunjukkan trend peningkatan dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada 17,484 MW untuk Jun, 17,724 MW (Julai) dan 18,307 MW (Ogos).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.