Realitinya PN berjaya tender semula KVDT2, bukan PH

93

29 OGOS: Walau apa pun tohmahan bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2), ada satu perkara yang pasti iaitu Pakatan Harapan (PH) gagal membuat tender terbuka projek berkenaan walaupun berpeluang memerintah selama 22 bulan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sebaliknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu melakukan tender terbuka serta mengarahkan projek KVDT2 ditender semula.

Ka Siong yang juga Presiden MCA berkata, apa yang PH tahu hanyalah melaung-laungkan mahu mengamalkan tender terbuka tetapi tidak pun berbuat demikian.

“Sebaliknya PN mampu melakukan tender terbuka serta mengarahkan projek KVDT2 ditender semula atas dasar mengoptimakan penggunaan dana awam bagi projek ini,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Ka Siong berkata, Anthony dalam respons balasnya berhubung isu ini telah mengatakan yang dirinya pada 19 September 2018 pernah memaklumkan kepada Kabinet mampu mengurangkan kos projek KVDT2 ke RM3bil-3.5bil jika ditender semula.

“Persoalannya kenapa tak dibuat? Lebih teruk lagi, selepas 10 bulan dari tarikh beliau memaklumkan kepada Kabinet, projek KVDT2 pula ditawarkan semula secara rundingan terus pada 2 Julai 2019 dengan harga RM4.475 bilion.

“Ini memang aneh lagi ganjil? Pendedahan Anthony membuktikan bahawa beliau tahu lebih awal bahawa kosnya hanya RM3 bilion hingga RM3.5 bilion tetapi tetap bersetuju mengurniakan projek ini secara rundingan terus dengan harga jauh lebih tinggi iaitu RM4.475bilion,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Ka Siong, dalam membuat keputusan membuka semula tender projek KVDT2, belia dan pegawai kementerian telah mendapat input daripada pelbagai pihak termasuk pakar rujuk, golongan profesional dan banyak syarikat yang lama berkecimpung dalam pembinan rel.

“Saya tidak hanya bergantung kepada PPR (Professional Project Review) yang disediakan Opus Consultants semata-mata. Jadi, saya nasihatkan Anthony Loke agar bersabar sedikit untuk melihat keputusan tender terbuka projek KVDT2 yang akan dilaksanakan kelak.

“Apa yang pasti ialah harga bidaan pasti jauh lebih rendah daripada RM4.475bil. Segala persoalan akan terjawab apabila tender terbuka tersebut dimuktamadkan,” ujarnya.

Tegas Ka Siong, beliau bersedia menjawab apa-apa soalan mengenai isu projek KVDT2 ini.

“Tapi kalau YB Anthony nak terus balun MCA, silakan. Ya tak ya, itukan memang SOP parti DAP!” katanya.

Sementara itu, Ka Siong membidas bekas Menteri DAP itu kerana mendabik dada berjaya mengurangkan 15 peratus kos KVDT2 sedangkan itu adalah pengurangan skop kerja sekali gus menjadikan perbandingan tersebut bukan epal kepada epal.

“Bagi saya sebagai jurutera awam professional, istilah pengurangan kos hanyalah satu permainan “silap mata” yang mengaburi mata rakyat semata-mata. Pengurangan skop kerja & penjimatan kos adalah dua perkara yang berbeza.

“Kalau kurangkan skop kerja pastinya kos projek dapat dikurangkan, tetapi ianya bukan penjimatan berdasarkan perbandingan ‘epal dengan epal’.

“Apa yang didapati di dalam cadangan projek KVDT2 dengan pengurangan kos 15 peratus ianya lebih menjurus kepada pengurangan skop kerja samada butiran kerja tertentu dikeluarkan dari asal atau ianya dibuat oleh pihak lain,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.