Petugas SPR tersilap halang pengundi berseluar pendek

149

29 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui petugasnya terkhilaf apabila melarang pengundi yang memakai seluar pendek memasuki pusat pengundian, hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, sepatutnya hanya individu yang memakai pakaian parti bertanding saja dilarang, selain pemakaian mencolok mata.

“Mungkin ada sikit salah faham, kalau ikutkan tiada masalah. Boleh (pakai seluar pendek), cuma ada yang tak boleh berpakaian parti, mencolok mata. Seluar pendek masih dibenarkan.

“Kita harap pengundi ini boleh datang semula mengundi.. janganlah merajuk,” katanya pada sidang media selepas meninjau pusat daerah mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Aminudin Baki hari ini.

Terdahulu, beberapa pengundi warga emas tidak dibenarkan masuk ke pusat pengundian di sekolah berkenaan kerana memakai seluar pendek.

Mereka yang dihalang masuk kemudian beredar dalam keadaan marah dan tidak berpuas hati terhadap pihak berkuasa.

Lebih mengecewakan, seorang warga emas yang dikenali Yoong bertindak mengoyak kad pengundi sebelum beredar kerana tidak dapat masuk untuk mengundi.

“Sebelum ini kami sudah sembilan kali mengundi, tidak pernah dihalang masuk untuk mengundi. Kali ini tidak boleh masuk kerana pakai seluar pendek. Sebelum ini kami pakai seluar pendek juga, boleh masuk.

“Kalau macam ini, saya tidak mahu mengundi,” kata Young, seorang warga emas ketika meninggalkan kawasan pusat mengundi tersebut.

Dalam pada itu, ejen sebuah parti yang dikenali Wee ditemui turut meluahkan rasa kecewa kerana dianggarkan lebih 10 pengundi telah pulang tanpa mengundi kerana kecewa.

“Mereka semua orang kampung, tak kan mahu pakai cantik-cantik pergi pejabat. Ada yang lepas mengundi mahu terus pergi kerja,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.