Pengundi, penyokong diseru kekal patuhi SOP

48

29 OGOS: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim dibuka jam 8 pagi ini, dilaksanakan menerusi kebiasaan baharu, dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengurangkan impak penularan COVID-19.

Sebanyak 54 saluran mengundi dibuka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh kawasan DUN berkenaan.

Persaingan pada PRK DUN Slim membabitkan pertembungan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas, S Santharasekaran yang menggunakan simbol buku serta Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dengan simbol pokok.

Penyertaan Amir Khusyairi mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

DUN Slim adalah PRK kedua diadakan dalam suasana norma baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan SPR sepanjang proses mengundi bermula iaitu dari pintu masuk hingga proses membuang undi.

Pengundi yang tiba di pintu masuk pusat mengundi akan disaring menggunakan alat pengukur suku, sebelum dibenarkan masuk ke dalam. Penggunaan pelitup muka juga diwajibkan.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membuat tinjauan di lokasi pengundian menyeru pengundi supaya mematuhi penjarakan sosial di tempat membuang undi selain memakai pelitup muka bagi mengawal penularan COVID-19.

Beliau berkata, penyokong semua calon juga mesti mematuhi peraturan dan tidak menimbulkan sebarang pertelingkahan yang boleh mengganggu proses pengundian.

“Ini baru pusat pengundian pertama saya sampai. Keadaan terkawal, walaupun ada dua pihak berdekatan, saya harap mereka mengawal diri. Jangan ada pertelingkahan supaya tidak ada isu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Saya harap keadaan seperti ini terus kekal. Saya menyeru pengundi sampai lebih awal, kita khuatir petang ini hujan,” katanya ketika meninjau pusat daerah mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Slim River pagi ini.

SK Slim River memiliki 3,063 pengundi, antara pusat daerah mengundi yang merekodkan jumlah pemilih teramai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Ismail Sabri juga berharap, rakyat dapat membuat pilihan yang tepat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini dengan memilih calon yang boleh membawa suara mereka ke peringkat tertinggi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.