Parti persendirian, aktiviti di pub antara ditahan ingkar

43

29 OGOS: Menganjur parti persendirian dan aktiviti di pusat hiburan antara 79 kesalahan yang dilaporkan kerana mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 51 individu dikompaun, manakala 28 lagi dikenakan tahanan reman.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan berkenaan termasuk aktiviti di dalam kelab malam atau pub, gagal menyediakan peralatan dan catitan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi lebih masa, parti persendirian serta aktiviti yang menyukarkan pelaksanaan peraturan penjarakan fizikal.

Beliau berkata, tindakan itu adalah hasil 64,776 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai pihak polis.

“Pemeriksaan itu adalah bagi memantau pematuhan terhadap SOP PKP Pemulihan (PKPP) dan ia membabitkan 4,845 pasukan, dengan kekuatan 16,796 anggota.

“Mereka membuat pemantauan di 3,722 pasar raya; 5,053 restoran serta 1,420 penjaja; 1,765 kilang; 3,770 bank dan 1,079 pejabat kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, pemantauan turut dibuat ke atas 1,154 terminal

pengangkutan darat, 203 terminal pengangkutan air dan 169 terminal pengangkutan udara.

Dalam perkembangan berkaitan beliau memberitahu, pihak polis mengadakan 63 sekatan jalan raya di bawah Operasi Benteng bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), khususnya melalui lorong tikus.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan semalam dan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.