Sabah sebahagian Malaysia, kerajaan tidak akan tunduk

121

29 OGOS: Malaysia tidak akan tunduk terhadap mana-mana tuntutan terhadap negeri Sabah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia tegas menyatakan tiada kompromi terhadap apa sahaja isu melibatkan kedaulatan negeri itu dan akan mempertahankan Sabah sehingga ke akhir.

“Baru-baru ini ada kenyataan daripada pihak Filipina nak buat peta baharu yang antaranya telah dimasuk dalam passport…saya tak nak cakap panjang, kita tidak akan tunduk dengan tuntutan ini.

“Sabah kekal dalam Malaysia…Sabah sebahagian daripada Malaysia.

“Jangan ada usaha untuk menarik Sabah keluar dari Malaysia dan jangan ada usaha orang lain daripada Malaysia, menuntut Sabah untuk menjadi sebahagian daripada wilayah mereka.” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan Negeri Sabah di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Ronald Kiandee.

Sebelum ini terdapat kenyataan di pihak Filipina yang mahu memasukkan Sabah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu ke dalam peta pasport negara itu.

Perkara itu merupakan cadangan anggota Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan Filipina untuk mewujudkan rang undang-undang gantian bagi meminda, mengganti atau memansuhkan Akta Pasport Filipina 1996.

Ini merupakan perkembangan terbaharu dari Filipina berhubung isu kedaulatan Sabah dan Malaysia.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.