Itu pandangan peribadi Ku Li

145

29 OGOS: Keputusan UMNO menyertai Muafakat Nasional (MN) dan keputusan Ahli Parlimen UMNO menyokong pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditentukan atas keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sehubungan itu, apa jua pandangan yang dikeluarkan selepas keputusan MKT UMNO dibuat adalah pandangan peribadi semata-mata.

“Justeru, saya melihat kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Gua Musang, YBM Tengku Razaleigh Hamzah adalah pandangan peribadi beliau.

“Namun, kita tetap menghormati pandangan yang telah dilontarkan oleh YBM Tengku Razaleigh,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Tengku Razaleigh semalam mengeluarkan kenyataan meminta UMNO menarik diri daripada Kabinet kerajaan PN.

Menurut Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu, ini berikutan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuka keahlian kepada bukan Melayu sekali gus tidak lagi layak membentuk kerjasama parti politik Melayu dan Islam menerusi Muafakat Nasional.

Kerajaan PN ditubuhkan pada 29 Februari lalu, atas dasar dokongan beberapa parti politik iaitu BERSATU, UMNO dan Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), MCA dan MIC.

Menurut Mahdzir, sebarang ketetapan yang diambil oleh UMNO dalam apa jua keputusan, haruslah melalui Biro Politik UMNO dan MKT UMNO terlebih dahulu.

“Barulah ia boleh diguna pakai untuk menggambarkan hasrat dan kerja buat parti,” jelas Ahli Parlimen Padang Terap itu. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.