Belia diseru manfaat insentif kerajaan

28

29 OGOS: Kerajaan memperuntukkan RM3.5 bilion melalui beberapa insentif bagi menangani masalah pengangguran dan memastikan pengekalan pekerjaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sehubungan itu golongan muda diseru memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang disediakan oleh kerajaan dengan menceburi pelbagai bidang bagi membantu memulihkan ekonomi negara susulan pandemik COVID-19.

Menurutnya, kerajaan banyak memberikan tumpuan kepada golongan muda dan graduan seperti menawarkan pakej latihan bagi mempertingkatkan kemahiran serta kebolehpasaran anak muda mendapatkan pekerjaan.

“Memandangkan bentuk pekerjaan masa depan memerlukan kemahiran baharu selaras dengan trend industri, maka anak muda perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Kembara dan Ziarah Merdeka Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) di Darul Falah di sini, hari ini.

Sementara itu, presiden HIMSAK, Datuk Mohd Faizal Daud meminta golongan muda mengelak perbezaan fahaman politik dan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi negara.

Seramai 162 peserta menaiki 52 buah kereta mengambil bahagian pada Program Kembara dan Ziarah Merdeka ke perkampungan Orang Asli Sungai Rual Jeli bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.