Serah kepada polis, tiada sebab letak jawatan

100

28 OGOS: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara untuk menentukan tindakan seterusnya berhubung isu kegagalannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah selepas pulang dari lawatan ke Turki, pada 7 Ogos lalu.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, juga mengesahkan bahawa beliau sudah dipanggil ke Bukit Aman dan memberi keterangan dua jam kepada PDRM, semalam.

Beliau juga turut mengesahkan bahawa tiga ahli keluarganya termasuk isterinya turut memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman, semalam.

“Semalam saya sudah ke Bukit Aman. Itu kali pertama bukan dua kali seperti dilapor sesetengah media, media yang buat cerita tak betul kena tegur sikitlah. Baru semalam saya pergi dalam sekitar jam 8.45 malam hingga 10.45 malam.

“Dalam dua jam saya berikan keterangan yang patut sebagai saksi terhadap isu yang dibangkitkan. Itu saja.. bakinya tunggulah apa dia daripada pihak polis dan AG (Peguam Negara)….terpulanglah,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada pekebun kecil di Slim River, Perak, sebentar tadi.

Ditanya mengenai desakan supaya meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet, Mohd Khairuddin menjelaskan tindakan seumpama itu tidak perlu memandangkan kesilapan yang dilakukannya bukan membabitkan tugasnya sebagai seorang menteri.

“Ia tidak menjejaskan tumpuan kerja. Biasalah itu (desakan letak jawatan). Saya tidak buat salah yang membabitkan kerja saya tetapi satu kekhilafan dalam isu SOP.

“Saya tak mahu buat kenyataan panjang, saya serahkan kepada polis walau saya ada pandangan juga. Kementerian Kesihatan juga sudah keluarkan kenyataan dan bagi saya, ia selesa,” katanya.

Beliau berkata, atas kekhilafan itu, gaji diterimanya sejak Mac hingga Ogos akan dipulangkan semula, namun dirinya masih meneruskan kerja-kerja seperti biasa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.