Saksi beri keterangan bercanggah, 18 kali terlepas pandangan

183

28 OGOS: Mejar Mazlina Mazlan, bekas setiausaha eksekutif Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberikan keterangan bercanggah kepada peguam, berbanding keterangan bertulisnya kepada Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Dalam keterangan bertulis kepada mahkamah kelmarin, Mazlina mengatakan dia menggunakan cop tandatangan Ahmad Zahid untuk mengelakkan kelewatan membayar kad kredit dan penyekatan penggunaan kad.

Tetapi ketika disoalbalas oleh Ahmad Zaidi pada sesi sambung bicara petang tadi, Mazlina mengakui beberapa kali terlewat membuat bayaran kad-kad kredit, selain ada kalanya terlebih bayar.

Dia juga mengakui tersilap apabila pernah membundarkan jumlah RM131 ribu kepada RM150 ribu.

Ahmad Zaidi mempersoalkan terdapat cek bertarikh 2010 untuk membayar bil kad kredit tahun 2014 dan Mazlina sekali lagi mengakui terlepas pandang.

Selain itu Mazlina juga mengakui cuai apabila tersalah bayar kad yang tidak mempunyai hutang.

Sejak pemeriksaan balas bermula dua hari lalu, Mazlina telah mengakui terlepas pandang sebanyak18 kali dan 25 kali mengakui tidak ingat mengenai pembayaran menggunakan cek-cek Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid menghadapi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.

Prosiding perbicaraan kes ini akan berlanjutan sehingga Mac tahun hadapan apabila mahkamah menerima permohonan pasukan peguambela atas beberapa alasan.

Antara alasan diberikan ialah Ahmad Zahid sebagai Pengerusi MN/BN perlu turun padang bagi menghadapi kempen Pilihanraya Negeri Sabah (PRN).

Tarikh-tarikh sambung bicara ialah pada 21 dan 22 September; 28 hingga 30 September; 12 hingga 14 Oktober; 26 hingga 28 Oktober; 16 hingga 19 November; 30 November hingga 3 Disember, 18 hingga 21 Januari, 2021; 22 hingga 25 Februari, 2021; 8 – hingga 11 dan 22 hingga 25 Mac 2021.

Setakat hari ini 90 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan. Pemeriksaan balas terhadap Mejar Mazlina Mazlan masih belum selesai dan akan bersambung pada 21 September. -Oleh NOOR HASILAH ISMAIL

Get real time updates directly on you device, subscribe now.