PRK DUN Slim: Pilih wakil rakyat dengan bijak

57

28 OGOS: PAS berharap pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bersikap bijak dalam memilih pemimpin kerana ia boleh menentukan masa depan mereka pada masa akan datang.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, PRK DUN berkenaan bukanlah sekadar pilihan raya biasa sebaliknya ia memberi isyarat bagaimana pengundi di kawasan tersebut memilih pemimpin mereka.

“Kalau kita buat pilhan, kita pilih calon BN (Barisan Nasional) yang pertama kita nak bagi tahu seluruh dunia bahawa kita ada satu gagasan baharu iaitu kita ada Muafakat Nasional (MN).

“Menerusi muafakat ini kita dapat membentuk satu gagasan baharu yang akan menjamin kestabilan politik dan ekonomi sekali gus meyakinkan pelabur untuk melabur ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam kempen ceramah PRK DUN Slim di Dewan Taman Permai, Pekan Lama, Trolak, malam tadi.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Nik Zawawi yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) memberitahu, walaupun PRK berkenaan tidak mengubah apa-apa namun, ia mampu menterjemahkan bahawa ada penyatuan dalam muafakat nasional.

“Penyatuan ini merupakan sejarah penyatuan politik di negara ini dan ia wajar diuar-uarkan ke seluruh negara dan dunia.

“Saya mengharapkan agar pengundi-pengundi di Slim tidak membuat pilihan yang salah pada PRK ini sebaliknya, perlu memanfaatkan peluang untuk menjamin kesejahteraan dan muafakat yang jitu,” katanya.

Sementara itu, dengan memberikan contoh apa yang berlaku di sesetengah negara Arab, Nik Zawawi berkata, disebabkan tidak ada kestabilan politik yang mantap, terdapat negara Asia Barat seperti Palestin dengan mudah dirampas kuasa oleh Israel.

“Saya lama di negara Arab, lebih 10 tahun. Apa yang saya nak katakan di negara Arab sana mereka berpecah kerana banyak kabilah. Mereka tidak boleh bersatu.

“Kalau negara Arab ini bersatu, Israel yang negaranya sebesar tahi cicak pun mereka boleh singkirkan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.