PKPP dilanjut akhir tahun, kompaun bakal dinaikkan

241

28 OGOS: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijadualkan berakhir hujung bulan ini akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020 berikutan wabak COVID-19 masih belum berakhir di negara ini dan juga global.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu dalam perutusan khas malam ini berkata, langkah ini diambil bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, ini supaya semua pihak dapat dipastikan mematuhi protokol kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Walau PKPP dilanjutkan, saya yakin kehidupan saudara saudari semua tidak akan terjejas kerana aktiviti harian boleh dilaksanakan seperti biasa dengan pembudayaan norma baharu dan pematuhan SOP.

“Yang penting, mesti terus biasakan diri dengan pemakaian pelitup muka, membasuh tangan, menjaga kebersihan diri dan mengelakkan daripada berada tempat sesak.

“Saya percaya ini semua telah kita lakukan sehingga berjaya mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya dalam perutusan yang disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen tempatan sebentar tadi.

Muhyiddin juga menyatakan sokongan supaya kadar denda di bawah Akta 342 dinaikkan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda berbanding jumlah sekarang.

Kadar kompaun untuk kesalahan di bawah Akta 342 ketika ini RM1,000.

“Walaupun demikian, perkara ini perlu diperhalusi dan Akta 342 ini perlu dipinda terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, kata Perdana Menteri, Malaysia masih berdepan cabaran getir dalam menangani isu ini memandangkan virus COVID-19 masih menular di seluruh dunia malah berlaku dengan cepat dan pada skala yang besar.

Katanya, beliau juga sedar pihak berkuasa tidak boleh mengambil mudah risiko penularan virus super spreader dan oleh itu peraturan kuratantin yang ketat akan terus dikuatkuasakan.

“Tiada siapa dikecualikan daripada peraturan ini dan mana-mana individu yang melanggarnya akan dikenakan hukuman setimpal,” tegasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, rundingan sedang dijalankan bagi menurunkan harga pelitup muka untuk memberi kemudahan kepada rakyat mendapatkannya pada kadar yang lebih murah.

Jelas beliau juga, pada masa ini hampir semua sektor telah pun dibenarkan beroperasi kecuali sebilangan kecil yang masih tidak dibenarkan seperti kelab malam dan pusat hiburan.

“Ini adalah tempat-tempat di mana norma baharu agak sukar untuk diamalkan. Kemasukan pelancong asing juga masih tidak dibenarkan untuk mengelakkan penularan kes-kes import ke dalam negara.

“Aktiviti-aktiviti sukan dibenarkan tetapi tanpa penglibatan peserta antarabangsa dan penonton,” ujar Perdana Menteri.

Kata Muhyiddin, selaras dengan pelanjutan tempoh PKPP, Tabung COVID-19 yang diurus oleh NADMA juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

“Sehubungan itu, pihak-pihak yang ingin menyumbang kepada tabung ini bolehlah berbuat demikian. Sumbangan kepada tabung ini akan digunakan untuk membantu mangsa COVID-19 dan menyediakan keperluan-keperluan untuk membendung wabak ini,” katanya. -M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.