Nafi bekas pemimpin UMNO dominasi MPT BERSATU

65

28 OGOS: Dakwaan Datuk A Kadir Jasin kononnya barisan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang baharu didominasi bekas pemimpin UMNO adalah tidak benar.

Ahli MPT BERSATU, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, tiada istilah ‘lebih UMNO’ dalam MPT yang baharu kerana mereka dipilih oleh perwakilan dan ahli atas keupayaan serta krebiliti memimpin.

Menurut beliau, selepas empat tahun penubuhan BERSATU, masa sudah berubah dan parti juga perlu berevolusi mengikut keadaan semasa.

“Secara logiknya jika mahu memilih pemimpin mesti kita mahukan mereka yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memimpin. Jadi pastinya perwakilan dan ahli BERSATU yang memilih barisan MPT baharu juga mahukan individu yang berkualiti.

“Sekarang ini BERSATU bukan lagi parti di peringkat penaja seperti awal penubuhan dulu. Maka sudah sampai masanya parti menetapkan hala tuju lebih tuntas dengan dipimpin oleh mereka yang dianggap berwibawa oleh para ahli ,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan, A Kadir yang juga bekas Ahli MPT BERSATU menyifatkan barisan kepimpinan baharu BERSATU bagi penggal 2019-2022 kelihatan ‘lebih UMNO’ jika dibandingkan sewaktu parti itu mula ditubuhkan dahulu.

Eddin menambah, kewibawaan MPT BERSATU yang baharu jelas ketara melalui susunan atau kompilasi MPT itu sendiri selepas BERSATU mengadakan pemilihan pucuk pimpinan peringkat nasional pada 22 Ogos lalu.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya memberitahu, selesai sahaja pemilihan minggu lalu, kesemua mereka yang dipilih oleh perwakilan perlu memikirkan cara untuk memperkukuhkan lagi parti.

Kata Eddin, pemilihan BERSATU juga berlangsung dalam suasana kekeluargaan dan kini tiba masanya untuk semua ahli serta memimpin kembali berjuang untuk kesinambungan perjuangan parti.

“Saya mengistilahkan hasil daripada pemilihan penuh kekeluargaan itu, yang menang tidak menang semua dan yang kalah pun takkan hilang semua. Semua masih ada peranan masing-masing dalam memastikan kelangsungan BERSATU.

“Semua pemimpin yang terpilih termasuk saya sendiri perlu mencari pendekatan yang sesuai untuk memperkukuhkan parti, menambah ahli dan sebagainya,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.