Muhyiddin lancar terbitan khas 25 tahun Putrajaya

164

28 OGOS: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan dua terbitan khas Jubli Perak Putrajaya iaitu Duit Syiling Peringatan dan Setem Keluaran Khas – Bangunan-bangunan ikonik Putrajaya sempena 25 tahun usia Wilayah Persekutuan Putrajaya esok.

Menurut Muhyiddin, terbitan khas yang dilancarkan pada hari ini merupakan satu penghormatan bukan sahaja kepada Putrajaya tetapi seluruh rakyat dan akan kekal abadi dalam lipatan sejarah Malaysia.

“Saya difahamkan terbitan khas usahasama Perbadanan Putrajaya, Bank Negara Malaysia dan Pos Malaysia Berhad ini telah menjalani proses kajian dan saringan bagi menghasilkan reka bentuk unik yang menggambarkan ciri-ciri yang terdapat di Putrajaya.

“Saya percaya peminat dan pengumpul syiling dan setem peringatan sudah pasti menunggu dan tidak melepaskan peluang untuk memiliki dua terbitan khas ini sebagai koleksi simpanan mereka.

“Syabas saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menghasilkan dua terbitan khas Jubli Perak Putrajaya ini,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, kata Perdana Menteri, pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, Putrajaya, sering dijadikan contoh dan penanda aras oleh negara-negara luar dalam pembangunan dan pengurusan bandar tersusun serta kerap mendapat pujian daripada ketua-ketua negara.

Beliau berkata, sepanjang 25 tahun sejak pelancarannya, Putrajaya semakin berkembang maju sebagai bandar raya bukan sahaja pada aspek pembangunan fizikal tetapi juga aspek pembangunan sosioekonomi.

“Pada hari ini kita semua amat bertuah kerana berpeluang melihat pelbagai mercu tanda dan kejayaan yang telah dicapai.

“Malah Putrajaya memperoleh pelbagai pengiktirafan sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Penerbitan Duit Syiling Peringatan Jubli Perak Putrajaya merupakan kolaborasi di antara Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Bank Negara Malaysia (BNM), melibatkan dua jenis terbitan iaitu Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf) dan Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U).

Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf) diperbuat daripada logam perak berketulenan 99.9, seberat 31.1 gram setiap keping dengan nilai muka RM10 dan harga jualannya RM253 sekeping, dengan jumlah tempaan sebanyak 1,000 keping.

Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated pula diperbuat daripada campuran beberapa logam terutamanya tembaga dalam kemasan tanpa kilat dengan berat setiap keping ialah 8.5 gram dan nilai mukanya ialah RM1 pada harga jualan RM13.20 sekeping, dengan hanya 15,000 keping ditempa.

Penerbitan setem keluaran khas yang memaparkan bangunan ikonik Putrajaya iaitu Perdana Putra, Istana Kehakiman, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan Jambatan Seri Gemilang pula merupakan usaha sama di antara Pos Malaysia dan PPj.

Setiap setem membawa denominasi RM1.30 dengan 250,000 keping setem akan dikeluarkan bagi setiap reka bentuk. Setem keluaran khas itu juga disertakan bersama Sampul Surat Hari Pertama dengan setem cetakan terhad sebanyak 30,000 helai yang boleh dibeli pada harga RM7 setiap satu.

Kedua-dua penerbitan khas tersebut iaitu duit syiling peringatan dan setem keluaran khas akan mula dijual kepada orang ramai pada bulan depan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.