MOF sahkan pembayaran AS$2.5 bilion tuntutan 1MDB

44

28 OGOS: Goldman Sachs Group Inc telah membuat pembayaran AS$2.5 bilion (RM10.425 bilion) kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan tuntutan tertunggak berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Kami mengesahkan bahawa AS$2.5 bilion telah dibayar oleh Goldman Sachs dan diterima melalui akaun escrow pada 27 Ogos 2020,” menurut jurucakap Kementerian Kewangan (MOF) kepada BERNAMA hari ini.

Akaun escrow adalah akaun di mana dana dipegang secara amanah manakala dua pihak atau lebih menyelesaikan transaksi.

Pembayaran tunai itu merupakan sebahagian daripada jumlah penyelesaian sebanyak AS$3.9 bilion yang mana kumpulan itu telah bersetuju untuk menyelesaikan bayaran dan tuntutan tertunggak berkaitan tiga urus niaga bon yang telah disusun dan diatur oleh bank Wall Street untuk 1MDB.

Bulan lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata baki sebanyak AS$1.4 bilion akan dibayar selepas aset yang berkait dengan hasil diseleweng melalui urus niaga itu dikembalikan semula kepada kerajaan.

Sebelum ini, kerajaan telah menerima sebanyak AS$620 juta daripada Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat. Penyelesaian itu menjadikan dana 1MDB yang dikembalikan ke Malaysia berjumlah AS$4.5 bilion.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.