Kuarantin menteri, keterangan saksi lain diambil

31

28 OGOS: Polis mengesahkan beberapa lagi individu tampil memberi keterangan berhubung siasatan kes melanggar arahan kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara, membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata mereka tampil selepas beberapa siri laporan polis dibuat terhadap menteri terbabit susulan kegagalan beliau menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Bagaimanapun, Huzir berkata jumlah sebenar mereka yang akan diperlukan memberikan keterangan hanya akan diketahui di akhir siasatan.

“Ini kerana dari sehari ke sehari siasatan dijalankan jumlah yang terbabit mungkin bertambah.

“Dalam siasatan kes ini, apabila kita mula mengambil keterangan saksi atau individu tertentu, sudah pasti akan timbul (keperluan ambil keterangan) individu yang lain yang perlu kita panggil,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja sempena Pemeriksaan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) A117 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua JSJ Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Ketua Penolong Pengarah Urusetia JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Dennis Lim Kwang Keng dan Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas.

Ditanya sama ada isteri dan ahli keluarga menteri terbabit turut dipanggil, beliau tidak dapat mengesahkannya namun memaklumkan beberapa individu lain sudah tampil memberi keterangan.

“Saya percaya ada penambahan (jumlah individu yang memberi keterangan) kerana kadang-kadang dari sehari ke sehari jumlah berubah seiring dengan perkembangan semasa siasatan daripada saksi-saksi.

“Saksi juga tidak semestinya dari kalangan keluarga atau kakitangan pejabat menteri terbabit. Saya juga mengesahkan polis tidak menghadapi sebarang tekanan dalam meneruskan siasatan kes terbabit.

“Bagaimanapun, ini bukanlah bermakna pasukan siasatan ingin mengambil masa yang lama kerana dalam keadaan tertentu ia juga memerlukan kerjasama daripada saksi-saksi atau individu terbabit untuk tampil memberi keterangan.

“Jika semuanya memberi kerjasama yang baik kita boleh selesaikan dalam masa terdekat dan tidak ada jangka masa ditetapkan namun siasatan akan dilaksanakan mengikut masa yang munasabah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu memberi keterangan di Bukit Aman lebih dua jam malam, semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.