Kedah, Selangor lapor kes tempatan baru COVID-19

58

28 OGOS: Walaupun hanya dua kes tempatan COVID-19 dilaporkan hari ini, namun negeri Kedah yang masih mempunyai empat kluster terus mencatatkan jangkitan baru dengan seorang lagi dikesan positif virus berkenaan.

Ia melibatkan seorang individu rakyat tempatan yang disahkan positif COVID-19 setelah melakukan ujian tersebut akibat bergejala.

Kedah kini mempunyai satu kawasan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) iaitu melibatkan Bandar Aman Jaya di Sungai Petani.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu lagi jangkitan tempatan di Selangor melibatkan kes saringan tahanan yang merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

Menurut beliau, keseluruhannya terdapat 10 kes baru dilaporkan dengan lapan adalah kes import yang mana jangkitan dari India sahaja melibatkan enam individu.

Katanya, dua lagi kes import melibatkan jangkitan dari Indonesia dan Filipina.

“Sehingga kini, terdapat lapan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat 36 kes sembuh dilaporkan hari ini dan ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,030 kes bersamaan 97.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 151 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, mengambil kira sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini dengan cuti hujung minggu yang panjang, masyarakat disarankan untuk mengelakkan sebarang perhimpunan besar-besaran dan mengikut norma baharu serta semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“KKM juga ingin menekankan bahawa pemakaian alat pelitup muka adalah diwajibkan di tempat yang sesak dan sempit oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020, terutamanya sekiranya penjarakan fizikal sukar diamalkan,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.