Abu Dhabi larang pasang cakera parabola

60

28 OGOS: Pihak berkuasa perbandaran Abu Dhabi bakal mengharamkan pemasangan cakera parabola televisyen di bumbung bangunan bagi mengelakkan ‘kecacatan’ panorama ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

Media tempatan melaporkan, langkah keras ini juga dibuat demi lindungi kelestarian alam sekitar selain memastikan pematuhan standard keselamatan struktur daripada ancaman risiko bencana.

Justeru, pemasangan cakera penerima siaran televisyen itu akan dilarang ada di setiap bumbung dan tembok laman taman di semua kediaman atau premis komersial di samping anjung beranda bangunan.

Pemilik peranti berkenaan juga tidak dibenarkan lagi memasang kabel penyambungan cakera secara bergantung di muka bangunan untuk mencegah suasana seumpama wayar yang berserabut.

Anehnya, peraturan itu sebenarnya sudah diwartakan sejak tahun 2012, tetapi tidak begitu tegas dikuatkuasakan memandangkan hukuman jika disabit kesalahan hanyalah didenda 1,000 dirham (RM1,135).

Bagaimanapun, susulan kedegilan ramai penduduk masih ingkar dengan undang-undang kecil itu, pihak berkuasa perbandaran ibu kota UAE ini terpaksa melancarkan kempen kesedaran isu tersebut.

Lebih 5,000 mesej teks ringkas peringatan telah dihantar terus kepada ketua isi rumah dengan buat permulaan disasarkan kepada kawasan Musaffah dan Mafraq selain Al Nouf dan Hamim.

Kempen dikenali sebagai ‘Ayuh kita bersama kurangkan piring satelit’ itu malah menyeru masyarakat membersihkan imej Abu Dhabi daripada pemandangan jelik bangunan yang dibanjiri cakera parabola.

Pihak berkuasa bandar raya itu turut memberi amaran bahawa bumbung yang penuh peranti tersebut, turut berpotensi membahayakan nyawa pasukan kecemasan jika berlaku kebakaran skala besar.

Masalah ini namun didakwa berpunca daripada sikap penduduk tidak menanggalkan cakera apabila berpindah dan mengakibatkan bumbung ‘sesak’ akibat banyak piring milik penghuni yang berikutnya.

Rakyat UAE diketahui antara paling tegar menonton televisyen di dunia meskipun negara itu berada tempat ketiga selepas Mesir dan Arab Saudi dari segi jumlah saluran televisyen di rantau Arab.

Gejala ketagihan itu menyaksikan negara tersebut agak ‘mewah’ dengan pelbagai siaran apabila ada 72 saluran televisyen secara percuma dengan 13 saluran daripadanya dimilikif kerajaan sendiri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.