88 individu ditahan ingkar arahan PKP

62

26 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 88 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, seramai 84 individu dikompaun manakala 4 individu direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (31), tidak memakai pelitup muka (15), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (7), premis beroperasi lebih masa (3) dan parti tertutup (32),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berhubung Operasi Benteng semalam, beliau memberitahu, PDRM telah mengadakan 62 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 24,481 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

Ismail Sabri menyatakan, tiada tangkapan dilakukan dalam operasi tersebut.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejak 24 Julai sehingga 27 Ogos 2020, seramai 18,401 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 68 hotel dan enam institut latihan awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Terengganu, Labuan dan Kedah.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,965 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 56 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 10,380 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia.

Semalam, pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,350 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 1,282 premis didapati mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 44 premis diberi nasihat dan 24 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.