Untung Affin Bank turun 56.8 peratus

46

27 OGOS: Keuntungan bersih Affin Bank Bhd turun 56.8 peratus kepada RM67.4 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020 daripada RM156.03 juta dalam tempoh sama tahun lalu dengan perolehan naik sebanyak 3.02 peratus kepada RM512.96 juta daripada RM497.93 juta.

Bagi separuh pertama tahun ini, keuntungan bersih bank itu merosot kepada RM190.97 juta daripada RM293.26 juta pada separuh pertama 2019 manakala perolehan naik kepada RM1.14 bilion daripada RM970.44 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, bank itu berkata, prestasi lemah itu berikutan kerugian susut nilai kredit yang tinggi sebanyak RM170.9 juta berikutan COVID-19, perbelanjaan overhed yang tinggi RM99.7 juta dan pengiktirafan kerugian pengubahsuaian RM79.7 juta.

“Kerugian pengubahsuaian berlaku berikutan pengecualian caj faedah semasa moratorium pinjaman dan pembiayaan selama enam bulan untuk sewa beli dan pembiayaan peribadi,” katanya.

Katanya, perbelanjaan operasi kumpulan naik RM99.7 juta atau 16.2 peratus didorong oleh kenaikan kos kakitangan yang berkaitan dengan prestasi perdagangan.

Mengenai pendapatan faedah bersih, Affin Bank berkata, ia berkurangan RM44.7 juta atau 11.9 peratus sejajar dengan pengurangan pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan RM2.6 bilion dan pelaburan kewangan pada nilai saksama melalui pendapatan komprehensif lain (FVOCI) RM2.0 bilion, serta pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam tempoh itu.

Pada separuh pertama 2020, jumlah pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan kumpulan itu susut dua peratus kepada RM45.0 bilion, sebahagian besarnya berikutan mengimbangi semula portfolio.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.