TH Plantations kembali untung

60

27 OGOS: TH Plantations Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM8.16 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2020 berbanding dengan kerugian bersih berjumlah RM19.15 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Pendapatan adalah lebih tinggi pada RM127.57 juta daripada RM106.11 juta.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, syarikat itu mengaitkan prestasi kali ini dengan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih baik yang direkodkan dalam suku kedua 2020, apabila ia meningkat kepada RM2,236 setan daripada RM1,905 setan dalam suku kedua 2019.

Pada peringkat operasi, kumpulan melaporkan keuntungan kasar sebanyak RM58.25 juta bagi suku semasa berbanding dengan keuntungan kasar sebanyak RM960,000 pada suku kedua 2019.

“Tandan buah segar (BTS) kumpulan yang dihasilkan dan diproses bagi kedua-dua tempoh, masing-masing bertambah sebanyak 5.88 peratus dan 3.20 peratus, manakala pengeluaran serta jualan MSM naik 0.86 peratus dan 0.62 peratus dari tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Pada suku tahun tersebut, pengeluaran dan jualan isirong sawit (PK) turut meningkat sebanyak 2.99 peratus dan 3.11 peratus, berbanding dengan suku yang sama sebelumnya.

Sementara itu, harga jualan purata (ASP) bagi BTS meningkat sebanyak 23.35 peratus pada RM422.86 setan, manakala ASP MSM juga menokok 17.34 peratus kepada RM2,236.10 setan.

Katanya, ASP untuk PK juga naik 22.96 peratus kepada RM1,305.84 setan.

“Memandangkan pandemik COVID-19 terus memberi kesan kepada ekonomi di seluruh dunia, kumpulan menjangkakan harga minyak sawit bagi tahun berkenaan, akan dipengaruhi oleh kesan pandemik ke atas pasaran minyak makanan dunia, keadaan ekonomi global dan pelaksanaan mandat biodiesel di Malaysia serta Indonesia.

“Tindakan proaktif yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menyokong komoditi melalui pengecualian duti eksport 100 peratus untuk MSM mulai 1 Julai- 31 Disember 2020 akan merangsang industri minyak sawit,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.